Sunday, December 28, 2008

Puisi Hujung Tahun 2008


SIAPAKAH YANG LUPAKAN DIRINYA?
(Untuk renungan Dato Hissamuddin Hussin)

Lalu memikirlah tentang diri dia
telah kian lama bertahta
dan menceritakan tentang bangsanya
harga bahasa untuk budaya temaddun
bangsanya yang kian hancur
lebur dimamah
kegilaan pencarian
yang tidak ketemu keputusan.

Diakah yang meleburkan bahasanya
dari anak kecil lupa ibunda penyusu
mempertahankan sistem yang karut
bagi bangsa bertamaddun dan merdeka
bahasa ibundanya
hanyalah kemuncup di tepi jalan

Demikian anak bangsanya dididik
dari fikiran rakus meruntuh
mertabat bangsa yang utuh
terkulai di tangan orang berkuasa
dalam tutur kegampangan penjajah
yang sekadar mempertahan kuasa.

Siapakah yang memperlekehkan Melayu
dengan mengenepikan bahasanya?
Siapakah yang menonjolkan bahasa penjajah
mengatasi bahasa Melayu
Bahasa Rasmi bumi ini?
Siapakah yang mempertahankan
pembelajaran bahasa keramat penjajah itu?]
Siapakah yang mempertaruhkan bangsanya
dengan menggadaikan bahasanya?
Siapakah yang mencarekkan Bahasa Rasmi
di Perlembagaan Negara ini?

Kitakah yang memerdekakan diri
atau kitakah yang dimerdekakan
dengan seribu janji
yang mesti dipatuhi?

Bahasa Melayu
waktu demi waktu terkulai layu
di tangan si jalang yang berkuasa
kononnya dialah pejuang
bangsa dan negara dari terbuang.

Apakah si celaka
merobek bahasa bangsanya
akan terus bertuah dan gagah
memekakkan telinga
menutup pintu hati
memutus di fikiran
menuduh sembarangan
penentang bahasa penjajah
adalah petualang negara!

Siapakah yang lupakan dirinya?
Siapakah si jahat itu?


SELADANG
Teratak Tok Peran,
Pahang.
28hb. Disember 2008




1 comment:

ALI MAIDIN said...

Jika perwakilan Umno pilih dia sebagai naib presiden, maknanya Umno merestui PPSMI, sekaligus Umno khianat melayu.