Sunday, June 14, 2009

ISU BESAR NEGARA TENGGELAM - Najib Terselamat Dengan Isu Kerajaan Perpaduan - PAS MENADAH TANGAN?

INILAH masa yang amat lega bagi politik Umno/Bn dan diri Najib Rosmah bila Isu Kerajaan Perpaduan yang diideakan oleh Presiden PAS TG Haji Abdul Hadi Awang bersama beberapa orang juak-juaknya mengisi ruang politik tanahair terkini!

Najib Rosmah bersama pimpinan Umno/Bn harus berterima kasih pada Presiden PAS itu dan jika berlaku Kerajaan Perpaduan amat tidak patut jika TG Haji Abdul Hadi dan juak-juaknya tidak diberikan taraf Menteri dan Timbalan Menteri kalau pun tidak dapat memberikan Timbalan Menteri.

Isu rampasan Kerajaan Perak oleh Bn dari Pakatan Rakyat - Isu lapuran akhbar luar negara yang mengkaitan Perdana Menteri Malaysia sekarang dengan kes Pembunuhan Altantuyya - Isu PPSMI - Isu pembelian kapal selam dari Peranchis - Isu Pelabuhan Klang - Isu Jambatan Bengkok - Isu video Linggam dan beberapa isu lagi yang memanaskan pesada politik tanahair! Semuanya sudah dibelakangkan.

Namun rata-rata rakyat tahu bahawa Najib Rosmah tidak akan memberikan ruang pemimpin PAS untuk berganding sama dengan Umno/Bn menerajui negara ini. Haluan Umno terlalu jauh dengan haluan PAS!

Pemimpin Umno juga belajar dengan apa yang pernah berlaku ketika PAS dalam Bn dulu - PAS dianggap sebagai duri dalam daging oleh pemimpin Bn ketika itu. Masa itu pemimpin PAS tidaklah sehebat yang ada sekarang ini dari segi berpolitik.

Permimpin PAS sekarang ini hebat berpolitik sehingga mereka mampu menyanggah Mursyidul Am PAS dan ahli PAS juga mampu menyanggah pimpinan - tujuannya untuk mengkedapankan idea politik masing-masing yang tersirat dan tersurat - samada untuk kepentingan rakyat atau diri sendiri - wallahualam!

Walaupun TG Haji Nik Aziz selaku Mursyidul Am PAS tetap menolak idea Karajaan Perpaduan Presiden PAS namun pemimpin Umno terus memainkannya di dada media perdana seolah-olah PAS sedang menadah tangan untuk memohon restu rahmat dari pemimpin Umno.

Pemimpin Umno di semua perengkat sekarang ini amat sayang kepada TG Haji Abdul Hadi dan mereka juga menyuarakan rasa sayang mereka kepada PAS. Mereka menyatakan di mana saja bahawa mereka boleh berkawan dengan PAS jika dibandingkan dengan DAP dan PKR.

Malahan ada juga antara pemimpin tempatan Umno yang menyarankan kepada umum jika nak masuk parti pembangkang masuklah PAS kerana PAS itu akan membantu Umno menegakkan politik Melayu!

Pada pemimpin Umno semua perengkat, idea Kerajaan PerpaduanTG Haji Abdul Hadi bukan untuk politik sejagat tetapi untuk politik Melayu!

Pemipin Umno seolah-olah sudah tidak meletakkan TG Haji Nik Abdul Aziz sebagai seorang ulamak yang berpengalaman dan bijak berpolitik seperti mereka suarakan sebelum munculnya idea Kerajaan Perpaduan TG Haji Abdul Hadi.

Namun kejahatan pemimpin Umno/Bn harus dibaca sama ada yang tersurat atau yang tersirat. Keporakperandaan politik Umno/Bn sendiri tidak semudah itu boleh diselamatkan oleh idea Kerajaan Perpaduan TG Hahji Abdul Hadi - rakyat semakin kuat menolak Umno/Bn dari arus pemerintahan negara!

Apakah pemimpin PAS yang masih mahu meneruskan idea Kerajaan Perpaduan dengan Umno sekarang atau sebaik saja keputusan PRU 13 nanti juga akan ikut sama ditolak rakyat?


SELADANG: Azab sangat dikerjakan oleh Umno/Bn!





Thursday, June 11, 2009

BILA AKHBAR LUAR NEGARA ALUKAN LAWATAN - Selamat Datang Pembunuh - BARU NAJIB NAK SAMAN?

RAKYAT Malaysia masih terkeliru - Kenapa Najib Rosmah tidak bertindak menyaman beberapa akhbar luar negara yang mengkaitkan Perdana Menteri Malaysia itu dengan kes pembunuhan Altantuyya wanita dari Monggolia?

Adakah kerana Najib Rosmah seorang yang amat sabar? Atau dia memang tak ambil kisah apa orang nak cakap pada dia? Atau dia sengaja berdiam diri?

Namun rakyat masih tertanya-tanya dengan tindakan beberapa akhbar luar negara yang boleh dianggap biadap kerana menjatuhkan maruah seorang Perdana Menteri dengan menuduh dianya terlibat dengan satu pembunuhan yang antara terhebat.

Sebaliknya akhbar-akhbar itu juga mempunyai alasan tertentu pula menyiarkan tuduhan tersebut.

Bagaimana pun ianya masih dalam tuduhan. Tetapi tuduhan itu boleh jadi ia boleh jadi tidak selagi tidak diputuskan samada akhbar-akhbar tersebut membuat fitnah melampau atau sebaliknya.

Sebagai manusia bertaraf Perdana Menteri maruah Najib Rosmah adalah maruah Malaysia!

Bagaimana jika seseorang rakyat Malaysia yang berada di luar negara diajukan pertanyaan berkaitan tuduhan tersebut? Apa dia nak jawab?

Nak jawab iya - mungkin tak iya! Nak jawab tak iya mungkin iya! Nak kata tak tahu atau geleng kepala, nanti orang kata rakyat Malaysia masih kuno - tak berpengetahuan - usahkan hal luar negara, kes besar dalam negara pun tak tahu!

Rakyat menjadi serbasalah kerana Najib Rosmah terlalu sabar - terlalu tak ambil kisah tentang maruah Malaysia dan rakyatnya di luar negara - terlalu berdiam diri?

Apakah Najib Rosmah akan bertindak melepaskan dirinya dari kesabaran yang amat sangat- melepaskan dirinya dari tak ambil kisah - melepaskan dirinya dari berdiam diri - apakala di salah satu lawatannya ke luar negara nanti akan dialu-alukan oleh akhbar-akhbar luar negara tersebut dengan perkataan - Selamat Datang Pembunuh - Masa itu Najib Rosmah baru nak bertindak?

Sedangkan selama ini rakyat Malaysia maruahnya masih diragui oleh dunia luar kerana sikap Najib Rosmah yang tidak bertindak terhadap tuduhan yang dilemparkan oleh akhbar-akhbar jalang itu!

Presiden PAS Haji Abdul Hadi berjaya mempertahankan maruah ahli dan PAS dari tuduhan melulu salah sebuah akhbar di London terhadapnya. Dia menyaman akhbar tersebut dan dia menang!

Kemenangannya bukan sahaja mempertahankan tetapi meningkatkan maruah PAS dan ahli-ahlinya. Kerana itu PAS terus dihurmati bukan saja dalam negara tetapi luar negara.

Najib Rosmah mesti saman akhbar-akhbar tersebut, bukan sekadar menyatakan tidak terlibat kerana akhbar luar negara boleh mempengaruhi dan meninggalkan kesan nagetif bukan sahaja deplomatik tetapi ekonomi negara ini disamping mempertikaikan perundangan - sosio budaya rakyat Malaysia!

Najib Rosmah wajib menutup mulut celupar yang berkaitan dengan kes pembunuhan Altantuyya itu dengan menyaman akhbar-akhbar yang membuat tuduhan bukan memerhati untuk bertindak mendakwa dan mengISAkan rakyat Malaysia sendiri yang bercakap tentang lapuran akhbar-akhbar luar negara yang membuat tuduhan terhadapnya!

SELADANG: Biar tak kaya - biar tak berpangkat tinggi - Asalkan maruah terpelihara!

Wednesday, June 10, 2009

CUCU CICIT HAMBA TOK LANUN TUNJUK BELANG - Tujuh Keturunan hidup membodek - MENYAMBUNG KERJA JAJAHAN LANUN


INI CERITA RAKYAT

LANUN yang berjaya naik ke darat dari laut setelah kian lama belayar dari negara atas angin lalu meletakkan diri sdebagai pemerintah bergelar Tok Lanun.

Kalau di daerah itu ada Tok Pulau, maka Tok Pulau dikekalkan. Kalau ada Penghulu Tanjung maka dikekalkan. Yang kekalnya gelaran dan imbuhan sementara kuasa mutlak mentadbir daerah-daerah tersebut di tangan Tok Lanun.

Berhimpunlah anak buah jejuak Tok Pulau atau Penghulu Tanjung menjalankan segala tugas dan arahan dari Tok Lanun. Mereka dikerah berkerja untuk melonggokan harta kekayaan kerabat Tok Lanun.

Hasil mahsul tanah daratan yang dijajah oleh Tok Lanun diangkut ke negara mereka. Mereka menjadi golongan memerintah dan kaya raya. Sementara anak buah Tok Pulau dan Penghulu Tanjung dikerah mengusaha dan menjaga kepentingan Tok Lanun. Mereka dibayar gaji mengikut kelas kerja. Yang buruh sudah pasti menjadi mangsa.

Tok Lanun meletakkan anak buah Tok Pulau dan Penghulu Tanjung sebagai hamba. Disuruh pergi dipanggil datang. Jika lambat dihukum jika cepat ditegur! Namun hamba Tok Lanun tetap akur!

Tidak semua orang pulau dan tanjung mengikut telunjuk Tok Lanun. Ada yang terus menentang sikap Tok Lanun yang mengukut segala hasil mahsul bumi mereka. Mereka membuat penentangan.

Lalu Tok Lanun bertindak mematahkan penentangan tersebut. Ada yang ditangkap dan ada yang dighaibkan entah ke mana. Ada juga yang dibuang ke negara orang.

Tok Lanun menggunakan hamba-hambanya yang amat setia untuk menghapuskan penentangan dari anak pulau dan tanjung.

Lantas itu pejuang anak pulau dan tanjung bertindak lebih garang lagi! Namun tindakan mereka terus ditentang oleh hamba-hamba Tok Lanun. Banyaklah yang terkurban di kedua belah pihak.

Pihak hamba Tok Lanun berjuang untuk mempertahankan kekuasaan dan kepentingan Tok Lanun sementara pejuang anak pulau dan tanjung berjuang membebaskan pulau dan tanjung dari kekuasaan Tok Lanun.

Akhirnya Tok Lanun yang dah kaya raya dengan memunggah harta pulau dan tanjung ke negaranya atas angin merasakan tekanan para pejuang anak tanjung dan pulau semakin kuat, lalu Tok Lanun membuat keputusan untuk meninggalkan pulau dan tanjung yang hampir setengah hasil buminya sudah dimentekedarah oleh mereka.

Tetapi Tok Lanun masih mahu pulau dan tanjung yang pernah ditadbirinya akan terus ditadbir mengikiut alun dan rentak pentadbirannya. Antaranya:

1) Rakyat tidak boleh bersuara bebas walaupun amalan demokrasi ditonjolkan.

2) Rakyat mesti dibebankan dengan cukai untuk pendapatan pemerintah.

3) Rakyat mesti diakurtunduk kepada pemerintah.

4) Golongan kaya mesti dijaga oleh pemerintah.

5) Pemerintah membentuk tadbir pecah belah perintah.

6) Konsep menghalalkan cara untuk mencapai matlamat.

7) Memisahkan politiki dengan agama.

8) Senantiasa merojok kepada pemerintahan Lanun atas angin setiap apa yang hendak dilakukan oleh pemerintah pulau dan tanjung.

9) Menipu undi setiap kali diadakan pemilihan pemerintahan sebagai topeng demokrasi.

10) Gunakan seluruh agensi kerajaan untuk mempertahankan kuasa memerintah.

11) Kekalkan ISA dan perbanyakan akta yang boleh menyekat kebangkitan perjuangan politik demi mengekalkan kuasa kesinambungan Lanun.

12) Cegah rasuah tapi ambil komisyen setiap urusan jual beli.

Dengan syarat-syarat tersebut pastilah pejuangan anak pulau dan tanjung tidak boleh menerimanya.

Oleh itu Tojk Lanun pun menyusun langkah mengkedepankan anak-anak hambanya untuk meneruskan kesinambungan pemerintahan jahatnya di bumi pulau dan tanjung. Lalu diamanahkan kepada kumpulan hambanya yang setia menubuhkan kumpulan bakal diserahkan kuasa pulau dan tanjung dengan menggunakan lambang senjata telanjang!

Kini anak, cucu cicit hamba yang pernah menjadi tali barut, pembodek, orang suruhan, pengawal harta benda Tok Lanun mendabik dada mengatakan: "Kami adalah pejuang! Datuk nenek kami telah memperjuangkan kebebasan bumi pulau dan tanjung ini! Datuk nenek dan kami telah bermatian menentang mereka yang tidak menjadi hamba Tok Lanun!"

Salah seorang yang diperarakan menunjuk belang sebagai hamba mempertahankan kuasa dan harta Tok Lanun terhenti bila melintasi pentas utama.

"Bapak dia tulah antara talibarut besar yang sanggup meneruskan cara pentadbiran Tok Lanun di bumi ini! Sekarang anaknya pula, esok cucunya, cicitnya, keturunannya," bisik rakan disebelah kiri.

"Tapi dia tak merampas secara terang cuma makan komisyen aja!" Balas rakan di sebelah kanannya sambil mengangkat tangan dengan seulas jari kelengkeing tegak ke atas seperti orang lain yang memberikan hurmat pada pemimpin besar mereka.


SELADANG: Masih tau membezakan antah dengan beras.

Monday, June 8, 2009

PROGRAM MASUK ISLAM DATO HADIAH



INI CERITA RAKYAT

UNTUK
menyekat perkembangan Parti Pembangkang yang mula mendapat sambutan hangat dari penduduk perkampungan Orang Asal di kawasan pilihanraya Dato Hadiah yang mewakili Parti Pemerintah, maka dimintalah olehnya supaya diadakan berbagai program agar Orang Asal di perkampungan tersebut tidak ada masa untuk mengikut program parti lawan.

Antara program yang dirancang besar ialah Program Masuk Islam Orang Asal. Apatah lagi dicanangkanlah ke seluruh perkampungan melalui Tok Batin oleh orang-orang kuat yang lebih tepat dinamakan pengampu atau pencacai Dato Hadiah.

Diwar-warkan juga mereka yang menyertai majlis tersebut akan diberikan hadiah berupa - kain pelekat bagi lelaki dan kain batik bagi perempuan, sehelai saja di samping hamper berisi kuih-kuih dan gula-gula serta mee segera. Sampul surat berisi wang sejumlah Rm 50.00 dijangka akan dihulurkan sendiri oleh Dato Hadiah sebaik acara tersebut selesai.

Yang paling hebat sekali diwar-warkan oleh pencacai/pengampu Dato Hadiah ialah bagi keluarga yang masuk Islam suami isteri akan mendapat sebuah rumah batu 20 kaki X 20 kaki persegi dibangunkan atas tanah yang tetap tidak bergeran kerana kononnya kalau diberikan geran maka Orang Asal susah nak ke bandar untuk membayar cukai tanah tersebut.

Tok Batin amat setuju walaupun dia sendiri tidak memberikan jawapan setuju untuk masuk Islam kerana menurut pencacai/pengampu Dato Hadiah setiap orang yang masuk Islam, Tok Batin yang juga menjadi pencacai Dato Hadiah akan mendapat 25%.

Kempen pun bermula. Tok Batin tak diam punggung siang malam memujuk anak buahnya masuk Islam.

Seorang anak muda bertanya dalam kehairanan, "dulu masa pilihanraya beriya sangat awak orang tidak beri kami mengundi parti Islam dan Keadilan kerana nanti kena masuk Islam, sekarang beriya pulak datang nak masukkan kami Islam."

"Ini Islam Hadhari - Ada had ada hari," jawap orang kanan Dato Hadiah.

"Tok tak masukkk?" Tanya seorang anak muda Orang Asal pada Tok Batin.

"Awak orang masukkkk dulu, aku jangan awak orang risaukan, aku taulah menjaga diri, samada ke hutan atau ke ladang, ke bandar usah tanyalah," Tok Batin menjawab merapu tak tahu apa kebendanya.

"Macam mana kami yang dah masuk 2 tahun dulu?" Tanya pula seorang lelaki dewasa Orang Asal.

Tok Batin tak dapat memberikan jawapan lalu berpaling pada orang kanan Dato Hadiah yang telah banyak mendapat hadiah istimewa dari Dato Hadiah terutamanya projek dan kawasan balak. Tanah haram jangan ceritalah banyaknya.

"Kalau begitu, begini," jawap orang kanan Dato Hadiah selamba, "awak orang yang dah masuk dulu tak apa masuklah sekali lagi."

"Dulu masuk kena potong sedikit hujung barang kita, nak kena potong lagi ke?" Tanya lagi lelaki dewasa Orang Asal itu.

"Yang dah potong tak payah potong, yang belum kena potonglah," jawapan orang kanan Dato Hadiah, "kalau tidak tak dapat hadiah."

Setelah berkempen beriya sakan tibalah hari yang ditentukan untuk acara pemotongan kulit hujung barang dulu dan setelah tiga hari nanti barulah acara lafaz dua kalimah syahadah dilakukan.

Oleh kerana perkampungan itu di pendalaman sedikit dan memakan masa perjalanannya, maka kumpulan tukang potong kulit hujung barang bersama-sama orang kanan dan kuat Dato Hadiah telah sampai petang sebelumnya dan bermalam di balairaya perkampungan Orang Asal itu.

Atas pemintaan mereka maka Tok Batin pun mengadakan majlis sewang. Berhibur sakanlah mereka malam itu dengan karoakenya, menarinya dan ......

Pagi esoknya lebihkurang jam 10.00 Dato Hadiah sampai. Dalam perjalanan dia sudah berangan-angan apa yang akan diucapkannya. Dia merancang untuk menyelitkan kata-kata jenaka dalam ucapannya nanti untuk menghiburkan mereka yang akan dipotong kulit hujung barang.

Mengikut lapuran orang kanannya sejumlah 57 orang lelaki dan 42 orang perempuan akan masuk Islam.

Dato Hadiah tidak risau keluar duit kerana duit komisyen macam-macam projek bertimbun dalam poketnya. Dia tak masukkan dalam bank nanti ada pihak tahu! Mampus dia! Dia juga gunakan dana dari Jabatan Agama Islam.

Lepas majlis potong kulit hujung barang ini tiga hari kemudian akan diadakan majlis masuk Islam. Masa itu Tok Mufti pula akan dijemput.

Sampai saja di balairaya Dato Hadiah terpinga-pinga kerana Tok Batin saja yang menunggunya sementara rombongan tukang potong bersama orang kanan Dato Hadiah masih bertelegu di atas pentas balairaya dalam keadaan bersepah dan kusut masai.

"Mana orang awak Tok Batin," Tanya Dato Hadiah.

"Semalam ramai tapi hari ni mereka tak keluar rumah, ada yang ke hutan cari rezeki," jawab Tok Batin selamba.

"Pasal apa macam tu? Janji ramai yang nak bersunat," sergah Dato Hadiah.

"Memang mulanya dia orang setuju tapi pagi tadi dia orang tak jadi," jawab Tok Batin.

"Kenapa? Saya dah siapkan hadiah," tanya Dato Hadiah.

"Hadiah yang Dato nak beri tu kecil, mereka takut barang mereka habis kena potong semua," jawab Tok Batin.

"Pasal apa nak potong semua?" Balas Dato Hadiah.

"Anak buah saya tengok tukang potong kulit hujung tu kuat mabok malam tadi, jadi dia orang takut mabok mereka sampai pagi ni, nanti tak sedar barang mereka kena potong habis, pasal tu dia orang lari," jawab Tok Batin.

Dato Hadiah tersandar pada kereta sambil menepok dahi, dalam hati, "terkena aku kali ni."

SELADANG: Selalu nasihatkan Orang Asal tinggalkan minum arak dan merokok.










Puisi: KE TELINGANYA, KE DADANYA, MENAM CHAO PHRAYA


MENGHAYATI PUISI SAHABAT ...

Berilah keadilan pada Chao Phraya
jangan tuntut janji dari airnya
Chao Phraya mengalir
jangan tersangka ia hidup.

Ia mengalir
bukan membersih
harapan kekasih
membalas kasih.

Apa yang tejadi pada dirinya
bukan buatannya sendiri.

Dari mulanya
dan masih hingga kini
maknusia menumpang
ketenangan Chao Phraya.

Dan kini penumpang
telah tempangkan
segala cahaya dari kejernihan Chao Phraya.

Jangan tekankan janji lagi dengan Chao Phraya
kerana dirinya sudah hilang seri
kalbunya hilang sasa
kelumpuhan upaya.

Kenalilah segala punca keruhnya
kendalilah mimpi penumpangnya semula
Chao Phraya cuma
sekadar menghanyutkan
apa yang terhumban ke dadanya.

Jangan bebankan Chao Phraya
jangan tagih sebarang janji
yang bukan kewajipannya
rengankanlah beban Chao Phraya.

Mampukanlah ia untuk terdaya
mengatasi gangguan
haloba maknusia.

Biarlah tiupan angin selatan
setelah membisikkan jeritan luka
biarlah tiupan angin selatan
ke telinganya
ke dadanya
Menam Chao Phraya.

helang segara
kota bangkok
thailand.
8 jun 2009

Sunday, June 7, 2009

KERAJAAN PERPADUAN PAS UMNO - Buka Pintu Lihat Keikhlasan - JANGAN MENGARUT BERCAKAP SAJA-SAJA

KALAULAH disampaikan hajat Presiden PAS untuk meneruskan Kerajaan Perpaduan dengan Umno dan cara tidak langsung dengan Bn, maka tangan tidak boleh bertepok sebelah berbunyi - kedua pihak mesti saling faham memahami. Sama-sama kehendak mengkehendakki.

Oleh itu setelah hampir 400 orang perwakilan di muktamar PAS baru-baru ini memberikan kemenangan kepada Nasharuddin Mat Isa sebagai Timbalan Presiden yang secara tidak langsungnya memberi kepercayaan dan sokongan kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi meneruskan Kerajaan Perpaduan.

Untuk tidak menghampakan perwakilan-perwakilan tersebut Presiden PAS sudah tiba masanya mengetuk pintu agar Presiden Umno menarik selat dan membuka daun pintu untuk PAS meninjau ke dalam politik Umno/Bn duduk bersimpuh berunding.

Apa yang perlu dilihat keikhlasan Umno terdekat kini yang agaknya menjadi harapan besar 400 perwakilan di belakang Nasharuddin?

1) Isu Kerajaan Perak yang dirampas oleh Umno/Bn dari Pakatan Rakyat dan mengketepikan Menteri Besar dari PAS.

2) Isu Pilihanraya Kecil Manik Urai.

3) Isu Kemelut Kerajaan Umno/Bn Terengganu.

Isu Kerajaan Perak adalah maruah PAS yang mesti diselesaikan secara rundingan Kerajaan Perpaduan. Kembalikan MB pada Nizar Jamaluddin walaupun mengepikan Pakatan Rakyat. Umno/Bn + PAS + Bebas - DAP - PKR! Lahirlah Kerajaan Perpaduan di Perak.

Jika usaha ini berjaya TGHH adalah seorang tokoh politik tanahair yang berwibawa setelah sedikit tercalar bilamana gagal mempertahankan Kerajaan PAS Terengganu di PRU 11 (2004) dulu.

Setelah Umno/Bn memberi laluan mudah pada PKR di Pilihanraya Kecil Penanti dengan alasan ianya diadakan tidak mengikut perlembagaan (pendapat orang jahil perlembagaan) adalah logik untuk PAS diberikan laluan mudah di PRK Dun Manik Urai Kelantan.

Umno memerlukan Melayu tidak berpecah dan di hati kecil pemimpin PAS juga kebanyakannya merasakan sokongan Melayu amat penting untuk mereka, oleh itu sebagai keikhlasan Umno kepada PAS yang telah diberi mandat oleh 400 orang perwakilan menyokong Nasharuddin (dikatakan sokongan TGHH) Umno harus menarik diri dan memberikan laluan mudah untuk PAS menghadapi calon Bebas jika ada penajanya.

Kemelut Kerajaan Umno/Bn Terengganu mungkin tidak sudah-sudah! Di sini Najib Rosmah harus memberikan kerusi Menteri Besar itu kepada PAS, TGHH atau Mustaffa Ali boleh menjadi MB. Admad Said berundur, puak Idris Jusuh juga kena akur! Tidak ada pembangkang di Terengganu!

TGHH atau Mustaffa Ali tentu berpengalaman memimpin Kerajaan Terengganu pada satu penggal dahulu sebelum jatuh semula ke tangan Umno/Bn. PAS + Umno dengan Kerajaan Perpaduan pasti mampu membangunkan Terengganu!

Kerajaan Perpaduan jangan menjadi main bibir politik tetapi ianya mestilah direalitikan agar muktamar akan datang hasil Kerajaan Perpaduan akan memandu arah tuju yang lebih besar lagi menjelang PRU 13.

Pimpinan PAS tidak perlu memikirkan Pakatan Rakyat sekarang ini. Yang pentingnya melihat akan keikhlasan Umno dengan Kerajaan Perpaduan kerana idea tersebut lebih menguntungkan pimpinan PAS di beberapa perengkat!

Jika arah tuju Kerajaan Perpaduan hanya untuk berbincang tentang biasiswa, rumah PPRT, tangkapan khalwat, Jomhebuh, ahli majlis perbandaran, pencen dan gaji , perpecahan Melayu maka ianya adalah suatu yang membazirkan jika dikira dari sudut politik kerana Kerajaan Perpaduan ini membawa PAS meninggalkan Pakatan Rakyat rakan yang sama berhempas pulas hampir 15 tahun lalu.

Jika sekadar rancangan dan saranan sahaja tetapi tidak ada pelaksanaan adakah menghampakan 400 perwakilan meletakkan Nasharudddin Mat Isa yang dikatakan amat mengekori TGHH diletakkan di kerusi Timbalan Presiden?

SELADANG: Masih tersimpan di sanubari peristiwa Lubok Merbau dan Mamali.


Thursday, June 4, 2009

DATO HADIAH DAN PADI BUKIT

INI CERITA RAKYAT

DAH
tak ada jalan lain nak memujuk anak buah Tok Batin di sebuah perkampungan Orang Asal, lalu seorang pemimpin parti memerintah telah mengadakan majlis rasmi menghadiahkan mesin memproses padi bukit. Ertinya Orang Asal di kampung tersebut tak payah lagi guna lesung dan antan kalaulah mengerjakan tanaman padi bukit.

Bersorak sorailah rombongan pemimpin parti memerintah itu sebaik saja Tok Batin menerima mesin tersebut yang bernilai lebih kurang RM 10,000.00.

" .... awak orang semua akan mudah dapat beras, guna mesin ini, ini hadiah saya, sokonglah saya ....," antara ucapan Dato Hadiah itu dengan senyum-senyum menjeling pada Tok Batin.

"Dari mana nak dapat beras Dato?" Tanya Tok Batin sambil anak buah menunggu tenang jawapan yang akan diberikan oleh Dato Hadiah.

"Dari padilah!" Jawapan Dato Hadiah.

"Dari mana nak dapat padi?" Tanya lagi Tok Batin.

"Tanamlah!" Dato Hadiah yang bijak putar belit dan sesekali saja dalam masa 5 tahun menjengok ke kampung tersebut mulai terdesak.

Anak buah Tok Batin mula tersenyum kecil. Ahli rombongan Dato Hadiah mula beri isyarat pada Tok Batin supaya jangan bertanya banyak.

"Nak tanam di mana?" Tok Batin terus bertanya dengan selamba.

Serba salah Dato Hadiah nak menjawab. Dia memandang ke kiri kanan dengan bibir terketar-ketar. Kemudian menjawab, "tanam di bukitlah."

Tok Batin menganggok ketawa kecil, "oh! Tanam di bukit!" Dalam hatinya tertanya-tanya tentang tanah mereka.

Sebenarnya; usahkan tanah bukit itu, tanah yang mereka duduk berkampung itu pun masih tak bergeran - tidak ada hak milik sejak nenek moyang mereka. Entak berapa kali mereka berpindah randah bila tanah yang mereka teroka diambil oleh 'orang luar' dari kampung mereka.

"Memanglah tanam di bukit, baru nama padi bukit, tak kan padi bukit nak tanam di paya!" Celah orang kanan Dato Hadiah yang menjadi pengerusi majlis tersebut.

"Mana bukitnya?" Tanya Tok Batin lagi.

Dengan nada yang agak tinggi menggunakan pembesar suara Dato Hadiah menekan suaranya, "bukit itulah, bukit mana lagi! Awak orang kampung ni pergilah tanam padi di bukit itu!" Sambil tangannya menunjuk arah bukit yang berada di belakang kampung tersebut.

Pengerusi majlis bertepok tangan dan diikuti oleh ahli-ahli rombongan Dato Hadiah. Sementara anak buah Tok Batin seorang berdua saja yang menepok yang lain dengan muka heran.

Malam itu gila sakan ahli rombongan Dato Hadiah. Mereka mabuk arak dan menari tak tentu hala. Sementara anak buah Tok Batin menjadi penonton kebanyakannya dengan perasaan heran melihatkan gelagat ahli rombongan tersebut yang lebih teruk dari mereka minum arak.

Seminggu kemudian beberapa orang anak buah Tok Batin bersiap sedia dengan peralatan untuk memburu ke hutan di bukit belakang kampung mereka itu sambil menjengok tapak baru untuk menanam padi bukit. Susah nak tanam dengan tuai saja. Tak payah lagi menumbuk. Mesin proses beras bukit dah ada di rumah Tok Batin.

Di simpang jalan pangkal kampung menuju ke bukit mereka nak tuju kelihatan pada mereka 3 buah jentolak beroda rantai besi sedang menghala ke jalan menuju ke bukit belakang kampung mereka itu.

Kumpulan pemburu Orang Asal itu menemui beberapa orang yang ada di sisi jentolak itu. Salah seorang ialah yang pernah menjadi pengerusi masa menyerahkan hadiah mesin memproses padi bukit seminggu lalu.

"Nak tolak tanah ke nak ambil balak?" Tanya salah seorang kumpulan Orang Asal itu.

"Mula-mula ambil balak lepas tu tolak tanah!" Jawab bekas pengerusi majlis yang memang dicam oleh mereka akan wajahnya.

"Tanah yang mana?" Tanya Orang Asal itu lagi.

Dengan suara tinggi bekas pengerusi majlis itu menjawab, "tanah bukit itulah!"

"Kan itu tanah untuk orang kampung kami nak tanam padi bukit?" Balas Orang Asal itu.

"Tanah bukit tu dah lama kami pohon - JKK kampung kami dah pohon! Sekarang dah lulus! Itulah hadiah yang kami dapat," jawab bekas pengerusi majlis itu dengan angkuhnya.

"Untuk apa mesin padi yang dihadiah kepada kami dulu?" Tanya Orang Asal itu dalam rasa kesal.

"Awak orang dapat hadiah mesin padi, kami dapat hadiah tanah bukit tu, itulah baiknya Dato Hadiah kita, tak kan tak sokong dia?" Dengan nada sinis bekas pengerusi itu menerangkan.

Kumpulan Orang Asal itu berpusing melangkah menuju jalan pulang.

"Eeee tadi awak orang nak ke mana?" Teriak bekas pengerusi majlis.

"Kami nak berburu ke hutan tujuan mulanya, kalau tak dapat rusa, kijang pun cukup, kalau ada kancil pun jadilah, kalau tak dapat juga, dapat biawak pun dah cukup," jawab salah seorang kumpulan Orang Asal itu.

"Kalau nak berburu kenapa balik?" Tanya bekas pengerusi majlis dengan mesra.

"Tak payah ke hutan encik, kami dah jumpa biawak-biawak tu!" Jawab Orang Asal itu.


SELADANG: Terus menuntut hak dari si zalim!













Monday, June 1, 2009

BAU TAIK KERING! Umno nak siasat? - TUTUP PEKONG GUNAKAN KURAP

JIKA benar-benar Umno mahu menyiasat kenapa peratus pengundian amat rendah di Pilihanraya Kecil Dun Penanti, Umno hendaklah jujur dan mesti bertindak agar perkara ini tidak akan berulang dimana ianya memalukan demokrasi di negara ini - jika mahu negara ini mengamalkan sistem demokrasi yang dihurmati oleh dunia!

Memang tidak ada dalam sejarah ketamadunan manusia sebuah partti memerintah kerajaan sesebuah negara mengistiharkan boikot pada satu pilihanraya kecil di negaranya dengan alasan tidak mahu melayan gelagat parti pembangkang.

Ini bahan ketawa politik! Ini bahan persembahan kartun politik! Ini juga bahan menunjukkan ketidak hebatnya parti pemerintah berdepan secara terbuka demokrasi yang kononnya diamalkan.

Ini juga boleh menggambarkan bahawa Umno/Bn hanya mampu masuk gelanggang dengan sokongan beberapa pihak yang tidak sepatutnya menyebelahi mana-mana parti semasa pilihanraya. Jelas yang lazim terlibat membantu Umno/Bn ialah agensi kerajaan seperti polis, sprm, malahan spr sendiri secara tidak berapa ketara tetapi hakikatnya menyebelahi Umno/Bn.

Yang paling jahatnya ialah media massa arus perdana milik kerajaan seperti tv dan akhbar tempatan.

Tanpa pihak di atas Umno/Bn boleh dikatakan kecut telor untuk turun gelanggang. Malahan dengan bantuan agensi-agensi tersebut juga Umno/Bn beberapa kali terterap di beberapa PRK sebelum Umno menjadi penonton gila talak di tepi gelanggang PRK Dun Penanti.

Selesai Pilihanraya 31 Mei 2009, ada suara mengatakan Umno mahu menyiasat kenapa peratus begitu rendah pengundi turun mengundi. Disamping seolah-olah memperlekehkan kemenangan PKR yang mewakili Pakatan Rakyat.

Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda Umno adalah manusia yang harus disiasat. Dia mengeluarkan kenyataan supaya pengundi di DUN Penanti tidak turun mengundi kerana Umno/Bn tidak bertanding!

Ini kenyataan tidak bertamadun! Ini kenyataan orang tidak bermaruah yang mewakili parti pengecut kerana menyekat rakyat untuk tidak menunaikan tanggungjawab memilih wakilnya! Bolehkah ini dinamakan menghasut?

Pemimpin Umno jangan nak berselindung dengan mengatakan bahawa kenyataan Khairy itu adalah kenyataan pribadi! Ini kenyataan yang membabitkan moral politik negara! Dunia boleh mengandai demokrasi di negara ini amat rendah mertabatnya bila mana peratus keluar mengundi tidak sampai 50%.

Khairy Jamaluddin adalah antara 5 Naib Presiden Umno tetapi tidak ada tempat dalam kabinet Najib Rosmah. Suaranya berkaitan politik adalah suara pemimpin Umno bukan suara pribadi.

Atau adalah segala kenyataan Khairy Jamaluddin dianggap oleh pemimpin Umno yang lain sebagai suara pribadi tidak mewakili Umno? Jika ini benar ertinya Khairy Jamaludin hanyalah melukut di tepi gantang pada Umno yang dipimpin oleh Najib Rosmah.

Mengeluarkan kenyataan yang mencemar demokrasi dan mencabul hak kemanusiaan itu adakah memang sengaja dilakukan oleh Khairy bertujuan untuk calon PKR menang mudah!

Ada calon bebas dilihat begitu ditimang oleh media arus perdana termasuk tv yang memang menyebelahi Umno/Bn. Calon Bebas ini seolah-olah mula melonjak dan menyatakan mendapat sokongan hampir 6,000 pengundi Umno.

Jika ini benar berlaku agak berat juga calon PKR nak menang besar dan mudah. Oleh itu adakah Khairy memainkan peranan menyekat kemaraan sokongan Umno/Bn pada calon Bebas tersebut?

Dalam politik moden hari ini semua boleh berlaku - 2 X 1 tidak semestinya 2 tetapi boleh jadi 3 - sebab 2 untuk kamu dan 1 untuk aku!

Bagaimana pun biar serendah mana peratus pengundi yang turun, PKR yang mewakili PR telah menang dua kali di PRK Dun Penanti.

1) Ketepikan Umno/Bn dari gelanggang sebelum bertanding. Bukan mudah untuk mengenepikan singa politik Malaysia sebelum bertanding. Tapi rakyat sedia maklum. Singa itu sudah tidak bertaring!

2) Menang dengan majoriti besar walaupun diserang dengan hebat dari beberapa penjuru terutamanya media massa pro Umno/Bn.

Jika jujur Umno/Bn mahu menyiasat kenapa peratus mengundi begitu rendah sekali di PRK Dun Penanti agar dunia tidak menganggap demokrasi di Malaysia ini mulai pudar menuju kuburan sebaik-baiknya terlebih dulu menyiasat tingkah laku, kenyataan, strategi yang dilakukan oleh Umno untuk melepaskan perasaan gila talaknya pada PRK tersebut.

Bau taik kering itu datang dari tubuh badan Umno sendiri kerana keras hati tidak mahu membasuh walaupun sudah disediakan air - namun sikap Umno sudah boleh dibaca dimana lazimnya menutup pekong dengan tampalan kurap!


SELADANG: Menunggu masa dari Kuala Krau ke Kuala Krai!

Puisi: CITRA WAYANG TOPENG-TOPENG

KITA MERENUNG SEJENAK PUISI SAHABAT ...

Untuk kesekian kalinya kini
kerabatku
Melayu
kian jua membelai
pilu mendatang sayu
menimbang untung
menimang malang.

Terasa benar piatunya kita
di tanah pusaka
terasa amat menumpangnya kita
di rumah nan gadang
terasa sekali hidup
bagaikan tidak beradat
terasa bertapa adab
bagaikan tak berbudaya
terasa amat aibnya
kita melihat hukum dipersenda
bagaiukan raja tak beristana
bagaikan penghulu tak bermukim
bagaikan tok empat tak berkampung
bagaikan buapak tak berlembaga.

Siang mengumpul nista
malam mengulit nestapa
kepuk tak berpadi
antah digesek sajikan bubur
tubuh dah tak berkain
perca dijahit pembalut badan
telaga dah tak berair
embun ditadah pembasuh luka.

Dan dalam demikian kita sengsara
dara sunti teteknya dikelar
bagaikan mengukir teras kayu
membuat gasing mainan.

Merajalelanyalah sang putera
membinatangkan
syahwat purbanya
di puncak tamadun digital
yang sudah glokal.

Lalu pak menteri terkencing sendiri
dalam berdiri
celananya basah
dan giginya terkancing.

Dan dalam bisunya itu
masih jua dia memperbudakkan
bijaksana rakyat jelata
kerana mereka melata
tak bertelinga
tak bermata.

Makanya
belasungkawakah yang sedang ditempah
oleh suatu bangsa
yang bercanda dalam seloka
meraikan pemimpinnya
menjenakai tamadun peradaban warisan
atas nama ketuanan suatu bangsa
dalam citra wayang topeng-topeng.

yassinsalleh
kuala lumpur
1 jun 2009