Saturday, January 31, 2009

GAPENA KEMBALI KONG KALI KONG

USAHA menentang Pengajaran dan Pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) semakin menggelegak. Berbagai pertubuhan mula bergabung dalam usaha besar itu. Antaranya ialah Gabungan Penulis Nasional atau disebut Gapena.

Dalam surat perkelilingan Gapena bertarikh 13 Januari 2009 antaranya menyelitkan beberapa usaha untuk penentangan tersebut.

Antaranya mengadakan Ratib Ratap Bangsa. Dirojok tulisan seterusnya: GAPENA Akan mengadakan acara di atas dalam bentuk Perhimpunan Khas mengenai bantahan terhadap PPSMI pada 14 dan 15 Febuari 2009, bertempat di Rumah GAPENA, Kuala Lumpur. Perhimpunan ini akan turut disertai oleh seluruh Badan Bukan Kerajaan (BBK) Melayu. Jadual penuh di Lampiran 1.

Apakah yang sumbang dan meragukan usaha Gapena ini? Bolehkah bertanggapan bahawa usaha Gapena ini bagaikan ada udang di sebalik batu? Adakah ayat di atas boleh dianggap bahawa Gapena cuba berkong kali kong untuk menjadi sekali lagi kuda tunggangan pihak tertentu.

Kalau dulunya Gapena mendabik dada mengadakan Kongres Permuafakatan Melayu setelah Umno/Bn tewas di beberapa negeri dan kemerosotan anggota Parlimen, kini Gapena muncul pula dengan isu PPSMI.

Ayat di atas memberikan gambaran bahawa Gapena sedang meniup bara api perkauman dengan beberapa ngo yang mempunyai matlamat sehaluan dengannya.

Kenapa Gapena gunakan perkataan 'seluruh Badan Bukan Kerajaan (BBK) Melayu'? Apakah Gapena mahu kembali mengulangi perhimpunan di Johor Baharu dulu ke Kuala Lumpur?
Ianya sealiran dengan sikap Umno yang totok perkauman!

Apakah pemimpin Gapena tidak arif persoalan PPSMI ini? Adakah ini soal kaum? Pasti pemimpin Gapena bertanggapan begitu kalau tidak masakan ia mengajak hanya BBK Melayu sahaja.

Pemimpin Gapena tentu tahu bahawa isu PPSMI ini ialah isu nasional, isu negara, isu rakyat, buka isu perkauman! Ianya ialah isu perlanggaran Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Bila menyebut Fasal 152 maka isunya ialah isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan.

Apakah Fasal 152 hanya diperuntukan untuk orang Melayu sahaja? Sedangkan seluruh isi Perlembagaan Persekutuan itu diperuntukan untuk rakyat Malaysia bukan kaum Melayu sahaja.

Oleh itu mengapa Gapena tidak menggerakkan agenda besar isu PPSMI ini untuk dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia? Jawapan yang boleh disangkakan ialah Gapena masih berkong kali kong dalam isu PPSMI ini untuk mengikut telunjuk satu pihak yang masih mahu terus mencengkam kuasa dengan memperdagangkan perkauman.

Dengan ini pemimpin Umno terutamanya Menteri Pelajaran akan senang berkata bahawa hanya orangt Melayu sahaja yang menentang PPSMI sedangkan kaum lain setuju.

Dipanjangkan isu itu, maka konon-kononnya mengharapkan Melayu yang kini berada dalam berbagai parti politik tanahair akan bersatu di bawah Umno - parti perkauman ketuanan Melayu yang meminggirkan Melayu kecuali sedikit dari kroni yang disayangi.

Adakah diantara pemimpin Gepena yang cuba tunjuk-tunjuk muka tapi hati dalam lain bicara? Namun yang jelasnya usaha Gapena tidak akan ke mana-mana jika tidak digabungkan dengan beberapa parti politik pembangkang! Ianya akan menjadi hambar dan hanya golongan elit sahaja yang berbicara sesama mereka.

Parti-parti pembangkang terutamanya PKR, PAS dan DAP harus melihat perkara ini dengan lebih ke depan lagi. Penentangan yang dibuat jangan sampai menjadi senjata yang akan menikam diri oleh jiran yang setiakawan mencari ruang dan peluang atas isu semasa.

Kita tidak mahu Umno menggunakan Gapena sementara Gapena menggunakan Ngo-ngo yang berpengaruh dengan matlamat tersembunyi antara pemimpin mereka bagi meletakkan keselesaan Najib Razak dan mengenepikan cepat Pak Lah sebagai Perdana Menteri disamping bermatlamat memulihkan kekuatan Umno/Bn di PRU 13 nanti.

SELADANG: Masih teringat ketakutan pemimpin Gapena menandatangani memorandum Forum Angin Timur Laut berkaitan pencemaran Bahasa Melayu di Kuantan satu masa dulu. Masa itu mereka memuji Tun Razak ayah kepada Najib.

Wednesday, January 28, 2009

Puisi: HARAPAN RAKYAT

Angin sepoi-sepoi bahasa telah bertiup
menyegar lapangkan sedikit demi sedikit
dada rakyat yang dalam kepanasan
selama ini dibara kering derita
dari telapak tadbir bernama Umno.

Angin sepoi-sepoi bahasa
mulai bertiup deras mengalun
gelombang rentak politik tanahair
tercetus reformasi 8 mac 2008
menjalar ke Permatang Pauh
meniti di Kuala Terengganu
merobek angkuh Umno/Bn
meledak mara Pakatan Rakyat
harapan baru bumi pusaka.

Harapan baru itu akan mara
membujur lalu melintang patah
perjuangan rakyat untuk rakyat
yang pernah dipinggirkan Umno
dengan lagu-lagu hikayat.

Kini rentak tari langkah terajang
tidak akan terhalang dek fitnah
kerana luka hati selama ini
mencetus rasa peralihan
dari medan kepura-puraan
ke perjuangan rakyat
yang ditegakkan oleh rakyat.

Demikianlah mula tersurat
harapan baru harapan rakyat
tidak akan berundur
dan mara memburu
keadilan, kemakmuran, kestabilan
dibawah Pakatan Rakyat yang keramat!

SELADANG
29hb. Januari 2009 / Rabu

Tuesday, January 27, 2009

TAK JADI DERMA KERANA TENGOK IKLAN

AKU ingatkan aku seorang saja yang terasa tawar hati nak menderma untuk Tabung Pelastin, rupanya ramai lagi kawan-kawan yang serasa dengan aku.

Ini semua disebabkan tersiarnya di akhir-akhir ini wajah seorang isteri pimpinan tertinggi UMNO yang mengiklankan di tv penderitaan mangsa serangan zionis Isreal untuk mengumpul dana tabung tersebut.

Tak tahulah tiba-tiba saja tawar untuk menderma ke tabung tersebut. Bagi aku memang menggalakan untuk rakyat negara ini membantu penderitaaan sesama Islam di Semenanjung Gaza itu tetapi dengan tersiarnya muka wanita tersebut beberapa kali dalam tv membuatkan aku tawar.

Entah mengapa di kepala aku berserabut dengan gambaran-gambaran negatif tentang keadaan jalinan peristiwa-peristiwa di negara ku ini sendiri bila aku melihat wajah wanita itu. Lalu aku pun tawar nak menderma keTabung Pelastin itu.

Rupa-rupanya beberapa orang kawan-kawan aku ada yang menelefon dan ada yang berbual di kedai kopi pun hampir sama dengan apa yang aku tawar hati itu.

Bagaimana pun aku dan rakan-rakan aku masih ada tempat untuk menghulurkan bantuan pada Mangsa Ganas Serangan Zionis Israel di Semenanjung Gaza.

SELADANG: Masih terasa pedihnya bila teringat Kerajaan BN Malaysia undang pasukan kriket Israel ke Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.

Friday, January 23, 2009

MENJAGA ISTERI JANGAN MERAJOK

Saja-saja berpantun !!

Kuala Kelewang Batu Kerewang,
Pak Buano buang sawang;
Hulur wang ambil wang,
Budaya Umno berpolitik wang.

Pak Buano buang sawang,
Tali sejengkal tak tentu kukuh;
Budaya Umno berpolitik wang,
Untuk kekal bertahta angkuh.

Tali sejengkal tak tentu kukuh,
Pengikat mangkok bersama cawan;
Untuk kekal bertahta angkuh,
Harta dilonggok bergelar jutawan.

Pengikat mangkok bersama cawan,
Letak merata di tanah hakis;
Harta dilonggok bergelar jutawan,
Rakyat derita harta dikikis.

Letak merata di tanah hakis,
Daun perimpin mainan panah;
Rakyat derita harta dikikis,
Terlaknatlah pemimpin pecah amanah.

Daun perimpin mainan panah,
Di Tanjung Agas mencampak besen;
Terlaknatlah pemimpin pecah amanah,
Menjalankan tugas memakan komisyen.

Di Tanjung Agas mencampak besen,
Sambil berlari menghilangkan sejuk;
Menjalankan tugas memakan komisyen,
Menjaga isteri jangan merajuk.

Sambil berlari menghilangkan sejuk,
Ombak sejajar menjelang malam;
Menjaga isteri jangan merajuk,
Nanti tak terkejar dek kapal selam.

Ombak sejajar menjelang malam,
Diambil simbul bunga dalia;
Nanti tak terkejar dek kapal selam;
Harap tak timbul di Monggolia.

Diambil simbul bunga dalia,
Di taman pancur anak Kampo;
Harap tak timbul di Monggolia,
Bimbang hancur kena C4.

Di taman pancur anak Kampo,
Rama-rama di pokok tepus;
Bimbang hancur kena C4;
Umno sama menumpang pupus!!!


SELADANG: Mengintai penyamun balak!

Monday, January 19, 2009

KEPUTUSAN PRK KUALA TERENGGANU - MAHATHIR CUCI TANGAN NAJIB

KEKALAHAN calon Barisan Nasional Dato Wan Farid Wan Salleh yang ketinggalan 2631 undi pada calon PAS Yang Berhormat Mohd Ahmad Wahid Endut di Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu banyak meninggalkan kesan nagetif kepada Barisan Nasional terutamanya UMNO.

Yang lebih menghadapi kesannya tak lain tak bukan ialah Dato Seri Najib Razak selaku Timbalan Presiden UMNO juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia selaku Pengarah BN untuk Pilihan Raya Kecil tersebut.

Kemampuan Najib lagi hebat dipertikaikan sebagai pemimpin Umno yang ditonjolkan sebagai panglima BN untuk menumbangkan atau menyekat kemaraan PAKATAN RAKYAT.

Rekod Najib tidak seindah yang dipuja katakan oleh mereka yang taksub atau yang mempunyai kepentingan tertentu kepada pemimpin bakal menerajui Kerusi No 1 UMNO itu pada bulan Mac ini.

Bermula dari PRU 12 Mac 2008, menemui PRK Permatang Pauh akhir tahun lalu dan disambut pula kekecewaan BN pada PRK Kuala Terengganu, 75% beban kekalahan itu terpikul pada bahu Najib yang diamanahkan oleh BN sebagai Pengarah Pilihanraya BN.

PRU 12, BN tewas di 4 negeri (Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor) tidak berjaya merampas Kelantan dan Wakil Parlimen Di Kuala Lumpur hanya 1 sahaja dimenangi oleh BN selainnya dibolot oleh PAKATAN RAKYAT. Sementara itu Negeri Sembilan BN mendapat 19 dan PAKATAN RAKYAT mendapat 15 DUN.

Keputusan PRU 13 adalah putik kegagalan Najib yang ditonjolkan untuk menjadi hero.

Bagaimana pun ianya disandarkan kepada Dato Seri Abdullah Ahamad Badawi selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang lemah sebagai pemimpin No 1 setelah mendapat secara serah borong oleh Dr. Mahathir jawatan idaman tersebut.

Berbagai masalah disandarkan kepada Pak Lah antaranya yang terbesar kerana Pak Lah dikatakan mengikut telunjuk 'Budak Tingkat 4' Putrajaya.

Najib masih boleh mencuci tangannya. Tetapi PRK Permatang Pauh sekali lagi Najib tewas menjalankan amanah besar untuk merampas kerusi Parlimen tersebut dari Parti Keadilan Rakyat yang mewakili PAKATAN RAKYAT.

Dato Seri Anwar Ibrahim memperolehi majaroti lebih dari apa yang di perolehi oleh Dato Seri Wan Azizah Wan Ismail semasa PRU 12. Kekalahan BN yang dikepalai oleh Najib Razak ini disandarkan kepada pergolakan parti untuk pemilihan jawatan dalam Umno serta beberapa pergolakan parti kompenan BN.

Mereka yang taksub dan berkepentingan untuk Najib berada di puncak sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia terus mendiamkan kekalahan itu walaupun mereka dan penganalisa politik sudah nampak ketidak upayaan Najib memikul tugas besar tersebut.

Mac 2009 hampir menjelang tiba. Takdir Allah menentukan untuk kali ke 3 bagi Najib Razak menunjukkan kelemahannya bila PRK Kuala Terengganu diadakan. Najib Razak selaku Pengarah Pilihan Raya Kecil Parlimen tersebut kecundang dengan kelebihan undi calon lawan jauh melebihi dari yang diperolehi calon BN pada PRU 12 lalu.

Kekalahan ini bukan sahaja kekalahan Dato Wan Farid selaku calon BN, bukan sahaja kekalahan Umno/BN tetapi adalah kekalahan Najib yang berantai dari PRU 12 dan PRK Permatang Pauh.

Kelemahan politik dan pentadbiran Najib banyak diperkatakan pada setiap Pilihanraya tersebut samada di PRU 12, Permatang Pauh dan Kuala Terengganu adalah aset penting yang membawa kecundangnya calon-calon BN.

Jika keputusan hendak dibuat secara kepimpinan politik, Najib telah gagal menelanjangkan PAKATAN RAKYAT sebayak 3 kali ini bererti Najib bukanlah ahli politik yang boleh menjadi pemimpin besar setakat ini. Kecuali ianya diselamatkan dengan taktik politik Umno sendiri yangh selama ini terkenal dengan politik wang dan pak turut!

Hajat meletakan Najib sebagai Presiden Umno telah hampir berjaya pada Mac ini nanti tetapi untuk kerusi Perdana Menteri masih belum tentu lagi! Pemimpin Umno/BN termasuk juga Pak Lah harus berfikir banyak untuk itu. Kekalahan di PRK Parlimen Kuala Terengganu adalah kelemahan Najib Razak.

Oleh itu Dr. Mahathir yang diperhatikan selama ini anti Pak Lah dan berada di belakang tabir pentas politik Najib Razak menyatakan bahawa kekalahan Dato Wan Farid bukan kerana kelemahan Najib tetapi calon itu pilihan Pak Lah!

Ambooiii hebat Dr. Mahathir cuba mencuci remah-remah kekalahan di tangan Najib Razak. Hujah yang amat dengkal dan bodoh dalam sesebuah organasasi terutamanya untuk sebuah parti politik yang mentadbiri kerajaan.

Ada 2 andai yang boleh dibuat dengan kenyataan Dr. Mahathir itu.

Pertama Najib tidak ikhlas untuk menerima amanah yang diberikan opeh parti pimpinan Pak Lah. Dia mungkin mahu calon pilihan Pak Lah tewas untuk ahli Umno marah dan cepat-cepat Pak Lah angkat punggung dari kerusi Perdana Menteri, kalau boleh sebaik pengumuman kekalahan calon BN di PRK Kuala Terengganu.

Keduanya bolehlah disimpulkan bahawa Umno/Bn ada 2 kelompok sekurang-kurangnya kalau pun tidak mahu disebut sudah berpecah belah. Sudah ada Pilihan Pak Lah, sudah ada pilihan Najib atau sudah ada pilihan orang itu dan orang ini .....

Apakah Najib mampu memimpin BN menghadapi PAKATAN RAKYAT jika ada Pilihan Raya Kecil lagi atau Pilihan Raya Umum dengan mengamalkan sebenar-sebenarnya dasar demokrasi yang dituntut dan dicatat dalam Perlembagaan Persekutuan?

Yang dikuatiri Najib tidak akan mampu untuk berbuat begitu. Oleh itu jawapan yang mesti ditunggu ialah nasib Umno/BN dan Kerajaan Malaysia di bawah Najib nanti samada pada rakyat negara ini atau pada dunia antarabangsa.

SELADANG: Angin semakin kencang bertiup, daun-daun kering berguguran, pucuk muda mula menjulur, pasti Harapan Baru tercapai.






Tuesday, January 13, 2009

PPSMI : SEJAUH MANA KEMAMPUAN GAPENA BERTINDAK ?

DI ZAMAN Dr. Mahathir Mohammad menjadi Perdana Menteri Malaysia, PPSMI diperagakan. Semuanya diam. Tidak berkotek seorang pun terutamanya orang-orang politik parti pemerintah (UMNO / BN) dan beberapa NGO yang menjadi penyokong kuat Kerajaan BN.

Para cerdik pandai yang berlambak di menara gading juga membisu. Kenapa begitu? Adakah zaman Dr. Mahathir itu mereka mahu mnelihat kejayaan PPSMI atau mereka takut dengan tindak tanduk Dr. Mahathir yang terkenal dengan akta rimbanya bernama ISA dan telah melakukan 'Operasi Lalang' yang besar, menyumbat dengan banyaknya tahanan ISA ke Kem Kemunting?

Di saat-saat pemerintahan Dr. Mahathir mula tercalar dan berada di penghujung untuk digantikan oleh Abdullah Ahmad Badawi, mulalah suara-suara protes berbunyi.

Beberapa orang pimpinan GAPENA mula menyuarakan rasa tidak puashati mereka. Lantas Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) membuat beberapa usul berbentuk memorandam untuk dihantar ke Kerajaan dan seterusnya badan penulis tunggal Negeri Pahang itu dengan berani mencetak pelekat kereta menentang penggunaan PPSMI.

GAPENA seolah-olah masih lagi mahu bermain angin walaupun Angin Timur Laut mula melanda kerajaan. Badan penulis yang dipimpin oleh Tan Sri Ismail Hussin itu terus merapati Kerajaan BN dengan berbagai cara antaranya mengadakan beberapa seminar dan kongres untuk Melayu sebaik sahaja beberapa negeri di Semenajung jatuh ke tangan PAKATAN RAKYAT.

Dengan menyelitkan beberapa resulusi menuntut secara lembut pemansuhan PPSMI. Mereka seolah-olah bagaikan tidak mengharap kepada Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi tetapi bagaikan mahu bergantung kepada Datuk Sri Najib Razak dengan harapan bahawa Timbalan Perdana Menteri itu anak kepada Perdana Menteri ke 2 dulu mampu mengembalikan semangat Melayu.

Nampaknya ujaan GAPENA itu hanya masuk telinga kiri keluar telinga kanan bukan saja pada Pak Lah, Najib malahan pada semua pimpinan UMNO dan BN.

Kini GAPENA sudah bikin ribut hendak menyaman Kerajaan. Hendak buat perarakan ala-Bersih anjuran PAKATAN RAKYAT yang sebahagian besar pemimpin dalam GAPENA itu sendiri mengutuknya dulu. Mereka sudah mahu bertemu dengan Yang DiPertuan Agong. Entah apakah lagi yang akan dilakukan kalau masih juga pimpinan Kerajaan BN terus membatu tuli dengan isu PPSMI.

GAPENA memberi tempuh hingga Mac. Pasti tarikh itu bukan tarikh keramat tetapi tarikh tamatnya Pak Lah sebagai Presiden UMNO yang boleh membawa berundurnya Pak Lah sebagai Perdana Menteri. Maka pastilah GAPENA mengharapkan sangat Najib memainkan peranan penting memansuhkan PPSMI yang menodai kewibawaan Bahasa Rasmi Kebangsaan Negara ini.

Bagaimana pun haruslah diingat bahawa Najib adalah proksi Dr. Mahathir dalam politik tanahair. Rata-rata orang-orang Dr. Mahathir memberi sokongan penuh kepada Najib dan kuncu-kuncunya.

Apakah mampu atau mahu benar Najib Razak menentang arus yang dialirkan oleh idolanya Dr. Mahathir Mohammad?

Dari pengamatan politik, Najib Razak tidak akan berbuat sesuatu yang telah dilakukan oleh Dr. Mahathir. Era Pak Lah akan berakhir Mac ini, Era Dr. Mahathir akan kembali menguasai negara sekurang-kurangnya hingga PRU ke 13.

Maka impinan dan hajat GAPENA besar itu hanyalah akan menjadi angan-angan Mat Jenin sahaja. Pemimpin GAPENA akan mencari berbagai usaha dan dalih jika pun tidak berdiam diri kiranya Najib Razak yang ketika itu sebagai Perdana Menteri (selepas Mac 2009) menghayun tangan menolak dan mencampakkan ke dalam tong sampah segala protes berkaitan PPSMI buah tangan Dr. Mahathir.

Adakah pemimpin GAPENA mampu bersuara dan bertindak seperti ahli-ahli politik PAKATAN RAKYAT jika Najib bertindak seperti Dr. Mahathir melaksanakan "Operasi Lalang" ke 2 ?

Inilah sejata besar Dr. Mahathir yang mampu memerintah selama 22 tahun negara ini dengan memegang punat Akta Keselamatan Dalam Negeri bagi meredakan kebangkitan rakyat yang tidak puas hati dengan beberapa program yang dilaksanakan olehnya.

Jangan sekali-kali GAPENA menjadi penjolok sementara galahnya PPSMI untuk Pak Lah cepat berundur dari kerusi Perdana Menteri untuk menaikkan cepat Najib Razak kerana Pak Lah tidak tahan dengan asakan dari berbagai penjuru; gerakan politik, gerakan bahasa, gerakan ketuan berbagai-bagai lagi, lalu GAPENA dan para cerdik pandai menggunakan gerakan pendidikan untuk cepat Pak Lah turun, Najib Razak cepat naik!

Jika ini berlaku, bukan saja penuntutan GAPENA tidak kesampaian malah seluruh kepimpinan GAPENA harus bertanggungjawab ketidak mampuan mereka itu!

SELADANG: Tumbangkan BN di PRK Kuala Terengganu untuk ajar pimpinan BN yang mencabar kehendak rakyat dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Negara.




Sunday, January 11, 2009

SIKAP BN SUSAHKAN WARGA PENDIDIKAN

PILIHANRAYA Kecil Parlimen Kuala Terengganu akan memberi satu pengajaran kepada BN jangan mempermudahkan segala urusan dan arahan yang bukan-bukan kepada warga pendidikan di semua perengkat.

Ini akan berlaku jika pihak warga pendidikan di dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu mengambil sikap mahu memberi ingatan kepada pemimpin BN dengan memberikan undi mereka kepada PAS.

Selama ini banyak urusan dan arahan dari pihak Menteri yang amat menyusahkan warga pendidikan terutamanya di sekolah-sekolah. Antaranya berkaitan displin yang banyak dipengaruhi oleh kehendak politik pemerintah (BN), yuran sekolah yang semakin bertambah dengan nama yuran tambahan, yuran PIBG yang ditangguhkan dari awal tahun ke lepas mesyuarat PIBG, penodaan Bahasa Melayu dalam bidang Matematik dan Sains yang dilakukan oleh Kerajaan BN.

Bagi masyarakat luar terutamanya orang-orang kampung perkara ini tidak dapat dihayati, namun bagi warga pendidikan ianya menjadi suatu yang mengganggu tugas mereka.

Untuk memberikan satu ingatan kepada Kerajaan BN supaya tidak memandang rendah warga pendidikan dengan urusan dan arahan yang dipengaruhi oleh suasana dan kehendak politik, maka wajarlah warga pendidikan mencabar BN di Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Thursday, January 8, 2009

FASAL 5 PERLEMBAGAAN PKR

Pihak tertentu begitu banyak mengelirukan rakyat tentang perjuangan Parti Keadilan Rakyat. Oleh itu diperturunkan Fasal 5 Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat untuk tatapan rakyat. Ianya menangkis segala andaian dari pihak musuh yang sentiasa mengelirukan fikiran rakyat ....

PARTI KEADILAN RAKYAT

FASAL 5: TUJUAN DAN MATLAMAT PERJUANGAN


5.1 Mewujudkan masyarakat adil dan negara demokrasi yang progresif serta bersatu.

5.2 Menghormati sistem Raja Berpelembagaan, memperkukuhkan Demokrasi Berparlimen, dan mendukung hak serta kuasa rakyat, dan berusaha untuk memantapkan sistem politik negara yang sesuai dengan kehendak serta kepentingan rakyat.

5.3 Menegakkan kedaulatan undang-undang yang adil, media massa serta kehakiman yang bebas, dan pasukan keselamatan yang mendukung prinsip-prinsip profesionalisme.

5.4 Menjamin kebebasan berfikir, bersuara, bergerak, berhimpun dan berpersatuan kepada semua.

5.5 Menghayati Islam sebagai agama Persekutuan sambil memastikan bahawa hak masyarakat bukan Islam mengamalkan agama atau kepercayaan masing-masing terus terjamin dan menggalakkan peranan agama serta nilai-nilai sejagat untuk menegakkan kebenaran, keadilan, ketinggian akhlak, pembangunan insan dan martabat manusia.

5.6 Mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi, disamping menjamin hak rakyat mengguna, mempelajari dan mendapat pendidikan dalam bahasa-bahasa lain; dan menggalakkan perkembangan kebudayaan serta kesenian Malaysia, berasaskan unsur-unsur unggul daripada semua warisan peradapan yang wujud di negara ini.

5.7 Mengukuhkan sistem pemerintahan Persekutuan yang adil, bertanggungjawab serta demokratik dalam mengimbangi kepentingan negeri-negeri dengan kekuasaan Kerajaan Pusat.

5.8 Mempertingkatkan kemuliaan insan, nilai keehsanan serta budaya ikram, menegakkan hak asasi manusia, dan berpegang teguh kepada prinsip intergriti dan akauntabiliti dalam bidang ekonomi, politik danb pentadbiran.

5.9 Melaksanakan ekonomi yang adil serta dinamik, yang mengutamakan pertumbuhan serta pengagihan yang adil, dan bebas daripada penindasan, kecurangan serta pembaziran, disamping mengatasi kemiskinan dan mencegah penumpuan kekayaan.

5.10 Berasaskan prinsip keadilan, mempastikan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Serawak digunakan khusus untuk mnenaikkan taraf sosio-ekonomi mereka yang miskin dan terbiar, serta pembelaan yang adil bagi golongan bukan Melayu dan bukan Bumiputra yang miskin dan terbiar, demi mencapai kesaksamaan untuk perpaduan nasional.

5.11 Menyediakan kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan awam yang bermutu dengan bayaran yang berpatutan sebagai tanggungjawab sosial pemerintah, terutama sekali bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

5.12 Memperjuangkan serta menjamin hak bekerja, upahan yang adil, keselamatan di tempat kerja dan mutu kehidupan yang baik untuk setiap orang.

5.13 Mempertingkatkan martabat dan peranan wanita dalam kehidupan masyarakat, menjaga hak serta kepentingan mereka dan memastikan mereka mencapai taraf yang saksama serta tidak menjadi mangsa diskriminasi dan eksploitasi.

5.14 Memperjuangkan hak dan pengembangan potensi belia dsan remaja serta menjamin peranan yang bermakna bagi mereka dalam semua bidang kehidupan.

5.15 Meningkatkan mutu hidup Orang Asal di samping menghormati adat mereka, menyediakan rancangan pembangunan yang sesuai setelah berunding dengan mereka, dan melindungi hak mereka ke atas Tanah Adat.

5.16 Melindungi alam semulajadi daripada pemusnahan; mencegah perosakan serta meningkatkan mutu alam sekitar dan memastikan pembangunan yang mapan.

5.17 Menegakkan sistem antarabangsa baru yang adil serta demokratik, melaksanakan dasar luar yang bebas serta beretika, menyediakan persekitaran yang sesuai untuk melahirklan masyarakat berilmu yang dapat menghadapi cabaran globalisasi yang mengancam kepentingan negara, rakyat dan manusia sejagat dan seterusnya melindungi ekonomi, politik serta keselamatan negara daripada kuasa-kuasa besar dunia.


SELADANG: Faham dan berjuang!

Wednesday, January 7, 2009

KEPIMPINAN & PRIBADI - Tidak terpisah !

SECARA rengkas dinyatakan bahawa seseorang itu dilahirkan ke dunia ini akan menjadi pemimpin. Kalau tidak memimpin negara dan ummah, menjadi pemimpin masyarakat, menjadi pemimpin kepada keluarga, menjadi pemimpin pada dirinya sendiri. Wujudlah sifat kepimpinan dalam diri seseorang itu. Bertepatan dengan Islam yang menyatakan manusia itu sebagai khalifah di muka bumi ini.

Mungkin manusia yang tidak waras fikirannya sahaja yang tidak mempunyai roh kepimpinan. Namun bagi manusia semolek mana, secerdik mana, sebodoh mana, secacat mana anggotanya, kepimpinan masih bersarang dalam dirinya. Ini manusia!

Amat janggal bagi seseorang yang cuba memisahkan pribadinya dengan kepimpinan yang ada pada dirinya. Begitu juga suatu yang janggal dan tidak diterima akal yang waras jika ada mengatakan bahawa tidak boleh dicampur adukkan kepimpinan seseorang itu dengan pribadi seseorang itu.

Sifat kepribadian seseorang itu akan secara langsung mencanai kepada sifat kepimpinannya yang menjadi pemimpin. Seseoreang pemimpin akan diangkat dan disanjung bilamana pribadinya memiliki ciri-ciri yang mulia untuk memimpin ummah.

Alangkah dangkalnya bila seseorang yang hendak diangkat itu menolak sama sekali teguran berkaitan pribadinya.

Diperlihatkan contoh terkini: Bagaimana seseorang pemimpin yang melakukan maksiat hendak dilantik sebagai pemimpin untuk memperbaikki ummah akhir zaman ini yang hampir punah dirasuk berbagai kemaksiatan?

Jika seorang perogol bagaimana mahu mengatasi masalah rogol? Jika seseorang itu perasuah mampukah mencegah rasuah?

Jika seseorang itu pembunuh, mampukah untuk menghapuskan pembunuh? Jika seseorang itu pemalas probadinya atau pengotor bagaimana dia mahu mrajinkan dan membersihkan ummah?

Jika seseorang itu pemabuk, bukan sahaja untuk membetulkan orang mabuk, dirinya sendiri pun tidak dapat dikawalnya.

Untuk meletakkan seseorang itu sebagai pemimpin yang akan meletakkan ummah yang bertemaddun apakah ianya dilantik dari seseorang yang berperangai tidak bertemaddun yang dihalalkan oleh Islam dan kemanusiaan?

Oleh itu tidaklah janggal jika menyatakan pribadi seseorang yang hendak diangkat sebagai pemimpin setara mana pun, kepribadiannya mesti disentuh bersama kepimpinannya.

Pribadi seserang itu mesti diperkatakan agar ummah dapat mengetahui sejauh mana dianya boleh memimpin dengan dasar kepimpinanan yang dibawanya. Maka jika acuannya itu berbentuk bulat, maka bulatlah kepimpinannya sebagai pemimpin. Jika lonjong maka mengikut auan itulah kepimpinannya. Lalu ummah akan disaran melalui kepimpinannya itu.

Oleh itu ummah mesti diberitahu tentang kepribadian seseorang pemimpin sebelum kepimpinaannya meresap ke sanubari ummah.

Pemimpin UMNO selalu sangat memisahkan pribadi dengan kepimpinan seperti yang disarankan di setiap Pilihanraya Jika pribadi seseorang yang hendak diangkat itu baik kenapa mesti takut diperkatakan pribadinya. Pribadi Nabi Muhammad SAW dihidangkan sepanjang zaman sebagai contoh yang amat baik untuk ikutan ummah.


SELADANG: Selalu nampak udang sebalik batu.


Sunday, January 4, 2009

BAWAH MERENTAP ATAS MENGHENTAK

Mari kita berpantun ...

Ke sana kejar ke mari kejar,
Sampai di landai terbaring menjalar;
Sana belajar sini belajar,
Ada yang pandai ada kurang ajar.

Sana menari sini menari,
Menari canggung membawa lidi,
Sana mencari sini mencari;
Ada termenung menunggu subsidi.

Jual kain beli kain,
Kain buruk di atas unta;
Sana kawin sini kawin,
ada yang sibuk bercina buta.

Kain lampen pembalut lampen,
Lampen jenuh Inderagiri;
Sana kempen sini kempen,
Ada memenuhi poket sendiri.

Anak Daik pulang ke Daik,
Menjual makjun di Lubuk Langkap;
Sana naik sini naik,
Ada terjun mengikut tingkap.

Kiri sawah kanan pun sawah,
Tanam jagung tepi perigi;
Sana rasuah sini rasuah,
Rakyat termenung mengira rugi.

Sana cerun sini cerun,
Kayu melintang bersegi-segi;
Getah turun sawit pun turun,
Harga barang melambung tingi.

Kuih lepat inti bersumbat,
Makan di tugu lebar-lebaran;
Naiknya cepat turunnya lambat,
Rakyat menunggu dengan debaran.

Bawah atap ada katak,
Kulit disayat di panas bening;
Bawah merentap atas menghentak,
Kepala rakyat juga yang pening.


SELADANG: Luka di hati tak beritahu.

Friday, January 2, 2009

ADA SOAL ADA JAWAB

Sementara nak masuk tidur...

PERJALANAN KURA-KURA

PADA satu hari seekor kura-kura berjalan di denai sempit dalam semak belakang kampung. Ia bertemu dengan seekor burung bot-bot yang juga berjalan menyongsong perjalanannya. Mereka terhenti berdepan. Lalu bot-bot bertanya; "Kenapa kepala awak botak tak berambut?"

Jawab kura-kura; "Tanda banyak berfikir." Kemudian ia bertanya pula pada bot-bot; "Kenapa mata awak merah?" Jawab bot-bot; "Tanda berani."

Kemudian bot-bot menepi sedikit untuk melintasi kura-kura yang terus menghadang jalan sempit itu. Lalu kura-kura bertanya; "Kenapa mengelak?" Maka dijawab pantas oleh bot-bot; "tanda berakal."

Kura-kura terus berjalan sampai dalam kampung dan bertemu dengan ulat yang sedang menggolek seketul tahi ayam panjang seinci lebihkurang. Lalu ditegurnya; " Awak nak buat apa tahi ayam tu ulat?" Ulat segera menjawab; "Nak buat antan lesong."

Balas kura-kura; "Pendek sangat." Ulat tersenyum menjawab; "Itupun dah boleh kerat dua." Kemudian ulat bertanya pada kura-kura; "Awak nak ke mana?" Jawab kura-kura; "Ke Palestin." Ulat pantas menghujah; "Dah petang ni!" Jawab kura-kura; "Aiii itu pun satu hari ulang alik."


SELADANG: Sama-sama kita fikirkan tentang isi cerita ini.