Thursday, June 4, 2009

DATO HADIAH DAN PADI BUKIT

INI CERITA RAKYAT

DAH
tak ada jalan lain nak memujuk anak buah Tok Batin di sebuah perkampungan Orang Asal, lalu seorang pemimpin parti memerintah telah mengadakan majlis rasmi menghadiahkan mesin memproses padi bukit. Ertinya Orang Asal di kampung tersebut tak payah lagi guna lesung dan antan kalaulah mengerjakan tanaman padi bukit.

Bersorak sorailah rombongan pemimpin parti memerintah itu sebaik saja Tok Batin menerima mesin tersebut yang bernilai lebih kurang RM 10,000.00.

" .... awak orang semua akan mudah dapat beras, guna mesin ini, ini hadiah saya, sokonglah saya ....," antara ucapan Dato Hadiah itu dengan senyum-senyum menjeling pada Tok Batin.

"Dari mana nak dapat beras Dato?" Tanya Tok Batin sambil anak buah menunggu tenang jawapan yang akan diberikan oleh Dato Hadiah.

"Dari padilah!" Jawapan Dato Hadiah.

"Dari mana nak dapat padi?" Tanya lagi Tok Batin.

"Tanamlah!" Dato Hadiah yang bijak putar belit dan sesekali saja dalam masa 5 tahun menjengok ke kampung tersebut mulai terdesak.

Anak buah Tok Batin mula tersenyum kecil. Ahli rombongan Dato Hadiah mula beri isyarat pada Tok Batin supaya jangan bertanya banyak.

"Nak tanam di mana?" Tok Batin terus bertanya dengan selamba.

Serba salah Dato Hadiah nak menjawab. Dia memandang ke kiri kanan dengan bibir terketar-ketar. Kemudian menjawab, "tanam di bukitlah."

Tok Batin menganggok ketawa kecil, "oh! Tanam di bukit!" Dalam hatinya tertanya-tanya tentang tanah mereka.

Sebenarnya; usahkan tanah bukit itu, tanah yang mereka duduk berkampung itu pun masih tak bergeran - tidak ada hak milik sejak nenek moyang mereka. Entak berapa kali mereka berpindah randah bila tanah yang mereka teroka diambil oleh 'orang luar' dari kampung mereka.

"Memanglah tanam di bukit, baru nama padi bukit, tak kan padi bukit nak tanam di paya!" Celah orang kanan Dato Hadiah yang menjadi pengerusi majlis tersebut.

"Mana bukitnya?" Tanya Tok Batin lagi.

Dengan nada yang agak tinggi menggunakan pembesar suara Dato Hadiah menekan suaranya, "bukit itulah, bukit mana lagi! Awak orang kampung ni pergilah tanam padi di bukit itu!" Sambil tangannya menunjuk arah bukit yang berada di belakang kampung tersebut.

Pengerusi majlis bertepok tangan dan diikuti oleh ahli-ahli rombongan Dato Hadiah. Sementara anak buah Tok Batin seorang berdua saja yang menepok yang lain dengan muka heran.

Malam itu gila sakan ahli rombongan Dato Hadiah. Mereka mabuk arak dan menari tak tentu hala. Sementara anak buah Tok Batin menjadi penonton kebanyakannya dengan perasaan heran melihatkan gelagat ahli rombongan tersebut yang lebih teruk dari mereka minum arak.

Seminggu kemudian beberapa orang anak buah Tok Batin bersiap sedia dengan peralatan untuk memburu ke hutan di bukit belakang kampung mereka itu sambil menjengok tapak baru untuk menanam padi bukit. Susah nak tanam dengan tuai saja. Tak payah lagi menumbuk. Mesin proses beras bukit dah ada di rumah Tok Batin.

Di simpang jalan pangkal kampung menuju ke bukit mereka nak tuju kelihatan pada mereka 3 buah jentolak beroda rantai besi sedang menghala ke jalan menuju ke bukit belakang kampung mereka itu.

Kumpulan pemburu Orang Asal itu menemui beberapa orang yang ada di sisi jentolak itu. Salah seorang ialah yang pernah menjadi pengerusi masa menyerahkan hadiah mesin memproses padi bukit seminggu lalu.

"Nak tolak tanah ke nak ambil balak?" Tanya salah seorang kumpulan Orang Asal itu.

"Mula-mula ambil balak lepas tu tolak tanah!" Jawab bekas pengerusi majlis yang memang dicam oleh mereka akan wajahnya.

"Tanah yang mana?" Tanya Orang Asal itu lagi.

Dengan suara tinggi bekas pengerusi majlis itu menjawab, "tanah bukit itulah!"

"Kan itu tanah untuk orang kampung kami nak tanam padi bukit?" Balas Orang Asal itu.

"Tanah bukit tu dah lama kami pohon - JKK kampung kami dah pohon! Sekarang dah lulus! Itulah hadiah yang kami dapat," jawab bekas pengerusi majlis itu dengan angkuhnya.

"Untuk apa mesin padi yang dihadiah kepada kami dulu?" Tanya Orang Asal itu dalam rasa kesal.

"Awak orang dapat hadiah mesin padi, kami dapat hadiah tanah bukit tu, itulah baiknya Dato Hadiah kita, tak kan tak sokong dia?" Dengan nada sinis bekas pengerusi itu menerangkan.

Kumpulan Orang Asal itu berpusing melangkah menuju jalan pulang.

"Eeee tadi awak orang nak ke mana?" Teriak bekas pengerusi majlis.

"Kami nak berburu ke hutan tujuan mulanya, kalau tak dapat rusa, kijang pun cukup, kalau ada kancil pun jadilah, kalau tak dapat juga, dapat biawak pun dah cukup," jawab salah seorang kumpulan Orang Asal itu.

"Kalau nak berburu kenapa balik?" Tanya bekas pengerusi majlis dengan mesra.

"Tak payah ke hutan encik, kami dah jumpa biawak-biawak tu!" Jawab Orang Asal itu.


SELADANG: Terus menuntut hak dari si zalim!













3 comments:

mamai said...

sinis citer nie tapi best...patut semua orang baca

Anonymous said...

nie biawak besar nie..
haha.. besh cite rkyt nie..

Suhaimi Said said...

Dato Hadiah tu pernah berkata bahawa dia sangat sayang kpd Orang Asli sebab itu Kerajaan tak mahu beri geran tanah kepada mereka bimbang membebankan Orang Asli nak bayar cukai tanah.