Thursday, January 8, 2009

FASAL 5 PERLEMBAGAAN PKR

Pihak tertentu begitu banyak mengelirukan rakyat tentang perjuangan Parti Keadilan Rakyat. Oleh itu diperturunkan Fasal 5 Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat untuk tatapan rakyat. Ianya menangkis segala andaian dari pihak musuh yang sentiasa mengelirukan fikiran rakyat ....

PARTI KEADILAN RAKYAT

FASAL 5: TUJUAN DAN MATLAMAT PERJUANGAN


5.1 Mewujudkan masyarakat adil dan negara demokrasi yang progresif serta bersatu.

5.2 Menghormati sistem Raja Berpelembagaan, memperkukuhkan Demokrasi Berparlimen, dan mendukung hak serta kuasa rakyat, dan berusaha untuk memantapkan sistem politik negara yang sesuai dengan kehendak serta kepentingan rakyat.

5.3 Menegakkan kedaulatan undang-undang yang adil, media massa serta kehakiman yang bebas, dan pasukan keselamatan yang mendukung prinsip-prinsip profesionalisme.

5.4 Menjamin kebebasan berfikir, bersuara, bergerak, berhimpun dan berpersatuan kepada semua.

5.5 Menghayati Islam sebagai agama Persekutuan sambil memastikan bahawa hak masyarakat bukan Islam mengamalkan agama atau kepercayaan masing-masing terus terjamin dan menggalakkan peranan agama serta nilai-nilai sejagat untuk menegakkan kebenaran, keadilan, ketinggian akhlak, pembangunan insan dan martabat manusia.

5.6 Mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi, disamping menjamin hak rakyat mengguna, mempelajari dan mendapat pendidikan dalam bahasa-bahasa lain; dan menggalakkan perkembangan kebudayaan serta kesenian Malaysia, berasaskan unsur-unsur unggul daripada semua warisan peradapan yang wujud di negara ini.

5.7 Mengukuhkan sistem pemerintahan Persekutuan yang adil, bertanggungjawab serta demokratik dalam mengimbangi kepentingan negeri-negeri dengan kekuasaan Kerajaan Pusat.

5.8 Mempertingkatkan kemuliaan insan, nilai keehsanan serta budaya ikram, menegakkan hak asasi manusia, dan berpegang teguh kepada prinsip intergriti dan akauntabiliti dalam bidang ekonomi, politik danb pentadbiran.

5.9 Melaksanakan ekonomi yang adil serta dinamik, yang mengutamakan pertumbuhan serta pengagihan yang adil, dan bebas daripada penindasan, kecurangan serta pembaziran, disamping mengatasi kemiskinan dan mencegah penumpuan kekayaan.

5.10 Berasaskan prinsip keadilan, mempastikan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Serawak digunakan khusus untuk mnenaikkan taraf sosio-ekonomi mereka yang miskin dan terbiar, serta pembelaan yang adil bagi golongan bukan Melayu dan bukan Bumiputra yang miskin dan terbiar, demi mencapai kesaksamaan untuk perpaduan nasional.

5.11 Menyediakan kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan awam yang bermutu dengan bayaran yang berpatutan sebagai tanggungjawab sosial pemerintah, terutama sekali bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

5.12 Memperjuangkan serta menjamin hak bekerja, upahan yang adil, keselamatan di tempat kerja dan mutu kehidupan yang baik untuk setiap orang.

5.13 Mempertingkatkan martabat dan peranan wanita dalam kehidupan masyarakat, menjaga hak serta kepentingan mereka dan memastikan mereka mencapai taraf yang saksama serta tidak menjadi mangsa diskriminasi dan eksploitasi.

5.14 Memperjuangkan hak dan pengembangan potensi belia dsan remaja serta menjamin peranan yang bermakna bagi mereka dalam semua bidang kehidupan.

5.15 Meningkatkan mutu hidup Orang Asal di samping menghormati adat mereka, menyediakan rancangan pembangunan yang sesuai setelah berunding dengan mereka, dan melindungi hak mereka ke atas Tanah Adat.

5.16 Melindungi alam semulajadi daripada pemusnahan; mencegah perosakan serta meningkatkan mutu alam sekitar dan memastikan pembangunan yang mapan.

5.17 Menegakkan sistem antarabangsa baru yang adil serta demokratik, melaksanakan dasar luar yang bebas serta beretika, menyediakan persekitaran yang sesuai untuk melahirklan masyarakat berilmu yang dapat menghadapi cabaran globalisasi yang mengancam kepentingan negara, rakyat dan manusia sejagat dan seterusnya melindungi ekonomi, politik serta keselamatan negara daripada kuasa-kuasa besar dunia.


SELADANG: Faham dan berjuang!

No comments: