Thursday, March 12, 2009

TERTANYA-TANYA DIRI SENDIRI

ENTAH mengapa akhir-akhir ini aku sentiasa sahaja gelisah, ada masanya terasa sedih bagaikan mahu menitiskan air mata dengan nasib dan usia aku serta kesihatan aku yang mula tidak menentu terutamanya bila pulang dari Perarakan Menghantar Memorandum Mansuhkan PPSMI ke Istana Negara pada petang 7 Mac yang lalu.

Aku sentiasa berdoa agar aku dimatikan oleh Allah SWT sebagai orang yang beriman. Aku juga mengharapkan usia aku yang dirahmatkan oleh Allah SWT di dunia ini dapat aku gunakan untuk memperjuangankan keadilan untuk semua rakyat di negara ini, walaupun aku hanyalah sehelai rumput di tepi jalan jika dibandingkan dengan pejuang-pejuang rakyat yang hebat di tanahair kita ini.

Walaupun aku sekecil mana dan hanya memberi sedikit sumbangan bagaikan daki sahaja dengan perjuangan rakyat di tanahair ini, namun aku tetap akur dengan keputusan pimpinan selagi pimpinan itu patuh dengan dasar perjuangan yang diperjuangkan.

Selalu sangat kini terlintas di kepala aku tentang kehampaan aku untuk menubuhkan Cawangan PKR Simpang Jenderak. Ianya sudah ada Jawatankuasa Penaja. Tapi ianya bagaikan terbiar begitu saja. Tidak ada siapa ambil peduli. Aku seperti kaku untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh pimpinan untuk menubuhkan cawangan tersebut!

Entah mengapa begitu? Aku amat mengharapkan kerjasama rakan-rakan lain, tapi sepi sahaja! Aku hanya mampu mengharapkan kini Sdr Srivinasan yang banyak mencari ahli untuk Penubuhan Cawangan PKR Simpang Jenderak dan kampung sekitar. Beliau bukan orang senang. Bukan orang muda. Tidak kacak. Pakaian pun tak berapa kemas. Macam aku juga.

Tapi jiwa beliau besar! Besar untuk meruntuhkan keegoan Umno/Bn! Jiwa beliau besar untuk berjuang menegakkan perjuangan rakyat bersama Parti Keadilan Rakyat!

Sri mengigaukan fikiranku! Aku berhajat sangat jika jadilah dalam masa yang sengkat ini tertubuhnya Cawangan PKR Simpang Jenderak, akulah yang akan mencadangkan Sdr Srivinasan sebagai Ketua Cawangan tersebut.

Fikiran ini datang bukan kerana aku mahu berguru dengannya tentang Bahasa Tamil tapi kerana ketabahannya berjuang sekuranbg-kurangnya mencari ahli untuk cawangan yang aku sebutkan tadi.

Tengahari tadi aku tunggang motosikal sahaja ke rumahnya. Malangnya tidak bertemu dengannya. Malahan berhubung dengan telefon tidak dapat. Aku tidak jadi ke Pekan Kuala Krau kerana aku tengok langit mulai redup mengandung mendong. Bimbang hujan aku kembali memusing jalan ikut tebing Sungai Pahang dan keluar di Simpang Kuala Tekal. Sempat juga jumpa dengan beberapa orang penduduk tempatan di situ, bual-bual biasa untuk mendapatkan sahabat baru.

Naik motosikal seronok tetapi takutnya ada maklumlah mata aku bukan boleh sangat kena angin kuat, pedih dan berair lalu kelabu. Dada aku pun tak tahan sejuk. Tapi itulah yang aku mampu untuk sampai ke Simpang Jenderak dimana aku menjadi Setiausaha Penaja Cawangan PKR di situ.

Aku amat malu untuk bertemu dengan rakan-rakan Orang Asal Jahut dari Berdot/Rekoh, Paya Pelong, Penderas, Pasu, Pian serta rakan-rakan dari Felda Jenderak Utara, Paya Luas dan Gong Halt, dimana mereka telah berjaya menubuhkan Cawangan PKR dengan membentuk ahli Jawatankuasa penuh serta keahlian yang bertambah dari hari ke hari.

Malu sangatlah aku! Kerana itu aku akan meminta kerjasama Sdr Srivinasan untuk berjaya menubuhkan Cawangan PKR Simpang Jenderak secepat mungkin.

Inilah kekecewaan yang besar ketika aku berusia 60 tahun jika Cawangan PKR yang aku menjadi ahli cawangannya tidak berjaya ditubuhkan.

Dulu aku rasa aku hanya mampu ke Simpang Jenderak sebulan sekali tetapi dengan menunggang motosikal aku mampu seminggu sekali. Belanjanya tak berapa besar tetapi keluarga aku bagaikan tidak mengizinkannya kerana banyak mengundang bahaya.

Kalau aku terus mendengtar cakap keluarga, jiwa aku terus tersiksa kerana berjuang dalam fikiran sahaja, cakap dalam mesyuarat berdegar-degar tetapi pelaksanaannya tiada! Cakap saja-saja kata orang tua-tua. Aku lebih suka diam dan tidak berapa suka berhubung dengan sesiapa saja yang tidak mendatangkan faedah!

SELADANG: Ingat lagi pesanan arwah abah aku: Jangan amalkan mesyuarat tak putus kerja tak siap!


1 comment:

Prof. Era Pasca said...

jalan la dulu tempat tu... mintak tolong rakan-rakan PKR jiran terdekat... p.s hidup tok peran..., toksah gelisah-gelisah le... doa panjang umor..