Saturday, April 25, 2009

BUAH UJUNG ULAI - Ranum Tapi Bahaya!

MASA aku kecik-kecik dulu, balik dari sekolah suka sangat lewat-lewat sampai rumah. Terutamanya bila tiba musim buah-buahan. Yang seronoknya bila tiba musim mengujung kata orang tua-tua.

Musim ini musim buah-buahan berakhir. Hanya yang tinggal beberapa biji saja di ujung ulai dahan. Memang masak betul dan memang ranum. Ianya tertinggal oleh capaian tangan atau oleh jolokkan pengolan (galah pengait) atau masa buah banyak masak, ianya masih muda!

Lazimnya buah yang tinggal masak ranum di ujung ulai ni ialah buah kundang - rambutan - langsat - bidara - mempelam taju - rambai - di dusun-dusun dan di tepi jalan kampung.

Aku adalah antara kanak-kanak masa itu yang dianggap cekap oleh rakan-rakan melempaikan diri di ujung ulai dahan untuk mendapatkan buah ranum.

Rakan-rakan aku hanya melopong aja memandang aku mencapai buah ranum ujung ulai itu dan mereka senyum-senyum bodek aku untuk dapat sama merasa! Aku pula memang dididik oleh keluarga supaya tidak kedekut - hati gajah sama di lapah - hati kumang sama dicecah - kalau banyak sama menggulai - kalau sedikit sama menyambal - bukan Rais Yatim aja pandai berpatah petitih!

Pada satu tahun tika aku dalam darjah 5, balik sekolah aku mengintai-intai di bawah pokok kundang yang telah ditinggalkan beberapa minggu oleh jagaan Pak Long aku! Pastilah buahnya sudah dianggap habis olehnya.

Aku nampak dua tiga biji buah kundang begitu ranum mengiurkan anak tekak aku sehingga melilih air liur sebelum aku memanjat dan mengulai ke ujung dahan.

Rakan-rakan yang selalu pulang sekolah bersama, hari itu tidak bersama aku. Mereka memberikan aku keseorangan untuk menikmati apa yang aku intaikan!

Dalam keegoan berserta harapan besar aku mengulai dahan dengan pantas dan mencapai buah kundang tiga biji setangkai! Ranum dan mengiurkan!

Tiba-tiba seekor kerengga merayap di lenganku! Aku menguisnya dengan pantas dan sepantas itu juga buah kundang tiga setangkai itu jatuh 'belempung' ke dalam sungai yang mana dahan kundang itu mengulai ke sungai ujung!

Aku hanya sempat memandang ianya hilir di bawa arus yang tak berapa deras dari hujung ulai dahan. Setelah hilang dari pandangan di selekoh sungai, aku pun turun dengan hampa.

Rasa penat tak seberapa tetapi rasa hampa yang benar mengecewakan aku! Aku duduk bersandar pada pangkal pokok kundang tersebut dan membuka buku bacaan untuk melayan perasaan hampa.

Sebentar Pak Long aku melintas jalan tepi pangkal pokok kundang aku bersandar itu. Dia baru mandi di sungai aku rasa kerana kain basahan hitam di bahunya masih basah lagi.

Aku menoleh padanya yang berdiri tercegat di sisi aku sambil merepong buah kundang ranum. Kelihatan bibirnya begitu merah berseri kerana menikmati kelazatan buah kundang ranum. Merah bibirnya macam bibir Najib Rosmah!

"Pak Long dapat dari mana buah tu?"

"Masa bilas badan di hilir tadi, buah ni langgar peha aku."

"Sebiji je?"

"Tiga! Dua dah habis aku sental, medu manisnya."

Aku monyok tak tentu pasal mendengar cakap Pak Long aku tu!

"Nak ?"

Pak Long aku menghulurkan sisa kundang repongannya pada aku. Nak tak nak aku sambut juga dan lelapkan mata lalu dengan bijinya sekali aku telan!

Pagi esok berteran sungguh aku dalam jamban nak mengeluarkan ulas biji kundang ranum ujung ulai!

SELADANG: Nasib tidak semestinya menyebelahi orang yang berusaha.

2 comments:

abdrahim kassim said...

ok le tu. dapat juga merasa. tak lah kempunan.

mamai said...

yang dulu2 semuanya best.....pernah aku tabag pokok rambutan orang pasal nak buahnya yang tinggal 3 tangkai